RM88 maksimum, bekalan pertama untuk frontliners

340

4 NOV: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengesahkan harga maksimum yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX ketika ini adalah AS$21 (RM88) bagi setiap satu vaksin.

Khairy yang juga Ahli Parlimen BN Rembau, berkata rundingan dengan COVAX mengenai proses perolehan vaksin kini berada di peringkat terakhir dengan keutamaan untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan.

Beliau berkata perbincangan berkenaan turut membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Peguam Negara yang sedang meneliti beberapa klausa perjanjian dalam COVAX.

“Kita harap dapat tandatangani COVAX dalam waktu terdekat. Cuma ingin dijelaskan bahawa COVAX hanya sebahagian daripada keperluan kita dalam mendapatkan vaksin COVID-19.

“Sebahagian besar daripada perolehan ini akan dicapai menerusi rundingan dua hala dengan negara berkaitan,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran) mengenai langkah kerajaan bagi menjamin bekalan vaksin COVID-19 kepada masyarakat bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Terdahulu, menjawab soalan asal Ahli Parlimen Warisan Papar, Ahmad Hassan berhubung kaedah bekalan vaksin secara saksama, Khairy berkata, ‘penawar’ COVID-19 itu dijangka diperoleh pada suku pertama tahun depan dengan keutamaan diberikan untuk tiga peratus populasi negara.

“Kelompok pertama ini terdiri daripada petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

“Akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi serta diangkat sebagai keutamaan sejajar COVID-19 ini dilihat sebagai satu keperluan asas awam,” katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Ahmad yang membangkitkan mengenai status pelan strategik kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok, Khairy berkata, dasar imunisasi kebangsaan itu kini diteliti menerusi suatu jawatankuasa sedia ada.

Menerusi pendekatan latihan kepada anggota kesihatan dan imunisasi secara besar-besaran, katanya, program komunikasi bagi menjelaskan kepada masyarakat berhubung taraf keselamatan vaksin COVID-19 akan dibuat.

“Ini bagi memastikan vaksin ini mesti diambil oleh rakyat, untuk lindungi mereka daripada COVID-19. Pelaksanaan kepada pelan imunisasi, dengan latihan dan komunikasi, akan bermula akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.