PM harap semua MP sokong Belanjawan 2021

69

4 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang akan menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini demi kepentingan rakyat dan kebaikan negara.

Beliau juga yakin semua ahli politik komited dan akan bekerjasama untuk kebaikan negara.

“Pada sesi Parlimen lepas, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen yang menentang Akta Kumpulan Wang COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019),” katanya.

Pakatan Harapan
Pandangan pembangkang turut diambil kira dalam merangka Belanjawan 2021.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media khas dengan Bernama dan stesen-stesen televisyen tempatan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

“Melihat kepada kepentingan Belanjawan 2021 dalam meneruskan usaha menangani wabak COVID-19, melindungi kelangsungan hidup golongan mudah terjejas dan memacu ekonomi, saya berharap semua Ahli Parlimen daripada semua latar belakang politik akan menyokong Belanjawan 2021,” katanya.

Menurut beliau, semua pihak perlu menumpukan usaha bagi membantu rakyat yang terkesan teruk susulan COVID-19 ketika negara berhadapan dengan situasi sukar dan menyulitkan.

“Isu di hadapan kita bukan isu kerajaan semata-mata tapi isu negara.

“Kalau kita sayangkan negara kita… kita nak selamatkan negara kita dengan apa cara pun,” jelasnya.

Muhyiddin memberitahu, kerajaan sememangnya mempunyai tanggungjawab dan bebanan utama dalam perkara itu.

“Boleh ringankan bebanan itu jika semua pihak ketepikan fahaman politik dan membantu kerajaan,” katanya.

“Jemaah menteri boleh laksanakan dan pegawai kerajaan yang diamanahkan pun boleh melaksanakannya, namun kalau pihak lain dapat membantu lagi dalam apa jua sekalipun, ia merupakan satu pengorbanan yang amat kita hargai,” katanya.

Muhyiddin percaya belanjawan itu akan mendapat sokongan semua peringkat lapisan Ahli Parlimen dan seterusnya di peringkat Dewan Negara.

“Saya harap ini dapat ditunaikan supaya bebanan kerajaan dan rakyat dapat dikurangkan,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, belanjawan tersebut merupakan belanjawan yang inklusif kerana pandangan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan, ahli perniagaan dan rakyat.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara input daripada pembangkang diambil kira dalam penggubalan belanjawan negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.