DAP jangan jadikan ceroboh tanah isu perkauman

283

4 NOV: Semua pemimpin politik terutama DAP digesa supaya tidak menjadikan isu pencerobohan tanah secara haram untuk penanaman durian Musang King di Raub, Pahang sebagai isu politik dan perkauman.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Raub, Fadzli Mohamad Kamal, berkata pencerobohan tanah di Raub untuk tujuan penanaman durian Musang King adalah isu penguatkuasaan undang-undang dan bukannya isu politik atau perkauman.

Justeru, Fadzli menegaskan, perkara yang salah di sisi undang-undang tetap salah dan tidak harus ada pihak cuba mempertahankannya.

“Dalam sejarah, tidak ada peneroka tanah haram menang dalam isu begini. Kami memberi amaran kepada semua ahli-ahli politik yang menggunakan dan berselindung di sebalik gerakan Save Musang King Alliance (SAMKA).

“Jangan bertindak melampau dengan memanipulasi isu sebenar dalam kes pencerobohan tanah ini. Cukup-cukuplah mengeluarkan kenyataan yang berbau politik dan perkauman,” katanya yang membindas tindakan parti pembangkang terutama DAP yang menangguk di air keruh dalam isu ini.

gambar hiasan

Fadzli yang juga wakil Gabungan Pertubuhan Melayu-Islam Raub berkata, pencerobohan terbabit juga menimbulkan banyak kesan buruk kepada Kerajaan Negeri Pahang dan penduduk Raub khususnya.

Jelas beliau, pihak kerajaan tidak dapat mengutip cukai yang sekali gus merugikan ekonomi dan hasil negeri, selain kegiatan itu merosakkan ekosistem hutan dan sumber air lantaran pencemaran.

Terangnya, hakisan dan tanah runtuh termasuk tebing sungai menyebabkan kekeruhan akibat lumpur dan bendasing lain dari aktiviti penerokaan hutan dan pertanian durian tidak terkawal itu.

Akibatnya ujar beliau, loji rawatan air juga tidak dapat menampung keadaan tersebut yang menyebabkan bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk Raub terjejas dan mengambil masa untuk dipulihkan.

“Kami berdiri teguh di belakang YAB Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang yang berani mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penceroboh tanah ini.

“Kami yakin kerajaan akan tegas dan tidan beri muka kepada penceroboh. Membawa kes ini ke mahkamah adalah proses biasa. Tetapi berpihak atau beri tanah kepada penceroboh sama sekali tidak,” serunya.

Baru-baru ini 110 penanam durian tersebut memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang supaya mereka mengosongkan tanah itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuantan Kuantan pada 28 Oktober lalu memberitahu, semua penanam durian itu tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan tersebut.

Peguam Kanan Pesekutuan, Noor Fadzila Ishak berkata, penanam terlibat tidak diberikan sebarang hak atau lesen pendudukan sementara (TOL) mahupun mempunyai hak milik terhadap tanah yang telah diusahakan dengan tanaman tersebut.

Keadaan ini menurutnya, menjadikan status mereka sebagai penceroboh atau setinggan, malah pemohon juga tersilap apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis yang dikeluarkan pentadbir tanah.

“Pemohon seharusnya memfailkan notis rayuan kerana notis bukanlah suatu yang disyaratkan undang-undang untuk dikeluarkan tetapi sebagai makluman kepada pemohon atau orang yang terlibat apabila ada kesalahan dilakukan yang mana dalam kes ini berlaku pencerobohan terhadap tanah kerajaan.

“Kerajaan negeri mengeluarkan notis yang memberikan peluang lebih kurang sebulan untuk pemohon mengosongkan tanah walaupun sebagai pemilik, mereka boleh terus masuk dan membuat execution,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz lapor Bernama.

Noor Fadzila berkata jika pemohon terkesan dengan notis penggosongan itu di bawah Seksyen 418 Kanun Tanah Negara 1965, mereka boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan Pentadbir Tanah Raub dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis diserahkan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata mahkamah tidak perlu memberikan kebenaran kepada pemohon kerana permohonan itu tidak mempunyai asas, sia-sia dan menyalahguna proses mahkamah.

Sementara itu, peguam Siew Choon Jern berkata status pemohon sebagai setinggan perlu dihujahkan semasa perbicaraan penuh dan bukannya pada peringkat permohonan kebenaran yang sedang berlangsung.

“Pada peringkat ini kami telah menunjukkan beberapa merit supaya mahkamah dapat memberi kebenaran tersebut kerana memberikan kebenaran tidak bermakna anak guam kami telah menang. Kami perlu mengemukakan segala alasan kami untuk pertimbangan hakim,” katanya.

Zainal Azman menetapkan 9 Disember ini untuk keputusan terhadap permohonan itu dan membenarkan perintah penggantungan terhadap notis penggosongan yang sepatutnya berakhir 28 Oktober itu disambung sehingga tarikh sama. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.