Sidang Dewan Rakyat 3 jam sehari hingga Khamis

112

3 NOV: Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan usul sidang Dewan Rakyat akan bersidang dari jam 10 pagi hingga jam 1 tengah hari mulai hari ini hingga Khamis.

Difahamkan tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ada kakitangan seorang Senator Dewan Negara disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.

Usul penangguhan itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan menurut Peraturan Mesyuarat 12(1) selepas sesi soal jawab dan disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Semalam, sidang Dewan Rakyat bersetuju bahawa sidang harian pada minggu ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari sahaja, kecuali pada Jumaat apabila Belanjawan 2021 dibentangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas beberapa kakitangan dan Ahli Dewan Negara disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.

Takiyuddin dalam ucapannya dipetik sebagai berkata, usul penangguhan sidang Dewan Rakyat itu dibuat berdasarkan Peraturan 12 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Kota Bharu berkata, usul berkenaan dikemukakan selepas mesyuarat tergempar diadakan oleh Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersama semua Ketua Whip yang mewakili semua parti politik dan wakil Ketua Pengarah Kesihatan tanpa sebarang prejudis, pada jam 10.30 pagi, semalam.

Menurut Takiyuddin, tujuan utama usul berkenaan dibentangkan adalah bagi memastikan semua wakil rakyat dapat membincangkan perkara yang diberikan keutamaan dalam sidang kali ini iaitu COVID-19 dan Belanjawan 2021.

Beliau memberitahu, keputusan itu juga dibuat berdasarkan peningkatan kes positif COVID-19 yang kini mencecah 32,505 kes termasuk 249 kematian dan 957 kes baharu (97 dirawat di ICU dan 27 memerlukan alat bantuan pernafasan) akibat gelombang ketiga.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.