Rakan Siti Nur Surya direman tujuh hari

156

3 NOV: Seorang pelajar perempuan tingkatan enam yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus di Lubuk Batu, Terlemong, Ahad lepas, ditahan reman tujuh hari.

Majisret Engku Nurul Ain Engku Muda hari ini membenarkan pelajar berusia 19 tahun, yang merupakan rakan sekolah mangsa sehingga tingkatan lima itu direman bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu, tiba di perkarangan mahkamah di Marang pada pukul 10.10 pagi, kelihatan sugul dan menggigil, seolah-olah menahan sebak, selain panik apabila dihampiri ramai jurugambar.

Pelajar berkenaan ditahan di Balai Polis Telemong pada pukul 8.15 pagi semalam ketika tampil bersama ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian Ahad lepas, Siti Nur Surya, 19, yang menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser otak tahap tiga, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya.

Mayat mangsa ditemukan adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang.

Terdapat kesan tetakan pada badan Siti Nur Surya manakala tangan kirinya putus dalam kejadian berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.