Pekerja tempatan tetap diberi keutamaan

39

3 NOV: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melipatgandakan usaha mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja dalam sektor tersebut.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, KPPK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Menurut beliau, pada masa yang sama, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal dalam sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

khairuddin
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

“KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan.

“KPPK turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor tersebut.

“Ia penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kesediaan kerajaan mempertimbangkan pemberian permit sementara kepada pekerja asing yang berada di negara ini untuk bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Mohd Khairuddin menambah, kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik COVID-19 yang kini berada pada gelombang ketiga.

Beliau memberitahu, KPPK juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

“Pada masa yang sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi. Oleh itu, KPPK berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa.

“Tambahan pula, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.