Pekerja Bangladesh demonstrasi mahu balik Malaysia

429

3 NOV: Beribu-ribu pekerja warga Bangladesh yang terkandas di negara asal akibat COVID-19 mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar di Dhaka mendesak bantuan kerajaan untuk kembali bekerja di Malaysia.

Memetik laporan Agensi, difahamkan, mereka pulang ke negara asal untuk bercuti dan tidak dapat kembali ke Malaysia akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan kebanyakan negara menutup sempadan.

Mereka juga menghadapi kesukaran pulang ke Malaysia kerana visa sudah tamat tempoh.

Kira-kira 25,000 warga Bangladesh yang pekerja di Malaysia kini terkandas di negara mereka sejak COVID-19 menular.

Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan campur tangan dan membantu mereka menyelesaikan isu dokumen perjalanan bagi membolehkan mereka kembali ke tempat kerja di Malaysia.

Setiausaha Luar, Masud Momen, ketika bercakap dengan penunjuk perasaan, memberi jaminan kerajaan Bangladesh akan berbincang dengan Malaysia bagi menyelesaikan masalah mereka.

Seorang pekerja, Md Mohiuddin, memberitahu akhbar New Age bahawa beliau pulang ke Bangladesh pada 28 Januari dan sepatutnya kembali ke Malaysia pada 6 Mei lalu tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat COVID-19.

Dia berkata, visanya tamat tempoh 6 Mei lalu dan kini tidak pasti sama ada dapat kembali ke Malaysia, sama seperti 20 lagi pekerja di kampungnya di Taltali, Barguna.

Katanya, tanpa campur tangan kerajaan, usaha mereka untuk kembali ke Malaysia tidak mungkin berjaya.

Mereka juga menuntut kerajaan menyediakan dana bantuan kewangan kerana tiada pekerjaan selama lebih tujuh bulan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.