PDRM operasi 24 jam perangi judi haram

523

3 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat komited dalam menangani aktiviti perjudian haram di seluruh negara yang boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah kewangan individu dan masalah sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PDRM juga mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak dan akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan aktiviti perjudian haram ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Menurut Ahli Parlimen Bersatu Larut itu berkata, judi tidak berlesen antaranya melibatkan judi dalam talian, nombor ekor haram dan lain-lain.

HAMZAH ZAINUDIN
HAMZAH ZAINUDIN

“Sehingga kini, langkah-langkah lain yang telah diambil oleh pihak PDRM adalah seperti membuka Bilik Gerakan Khas yang beroperasi selama 24 jam masih lagi dibuka selepas arahan Ketua Polis Negara (KPN) pada 20 Julai 2018. Ini adalah bertujuan untuk menerima aduan daripada masyarakat dan mengambil tindakan berhubung kegiatan judi di kawasan mereka.

“Risikan akan dijalankan berdasarkan maklumat yang diperolehi hasil aduan dari orang awam melalui talian hotline ke bilik gerakan khas ini,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Sungai Siput, S Kesavan yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah perancangan strategik pihak kerajaan bagi membendung kegiatan judi tidak berlesen dalam masyarakat supaya masalah sosial dalam kalangan rakyat dikurangkan sekali gus pada masa yang sama dapat menambil hasil percukaian negara.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, PDRM juga menjalankan pemeriksaan dan serbuan melalui Op Dadu di premis judi haram dan tindakan diambil ke atas penganjur, penulis dan pembeli loteri haram di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Berdasarkan statistik Op Dadu Khas dari 1 Januari hingga 31 Oktober 2020, sebanyak 12,526 serbuan telah dilakukan melibatkan 21,515 tangkapan serta sejumlah wang rampasan sebanyak RM8,168,281.00.

“Selain melakukan operasi pembanterasan secara berterusan, tindakan yang tegas juga diambil kepada sindiket-sindiket yang terlibat dalam menganjur aktiviti perjudian haram di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). Dari 1 Januari sehingga Oktober 2020, sebanyak 428 individu telah ditahan di bawah POCA,” katanya.

Beliau berkata, PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat utiliti bagi tujuan pemotongan bekalan elektrik dan bekalan air di premis-premis yang telah dikenalpasti menjalankan kegiatan terbabit.

Malah, sejak 2012 sehingga Oktober 2020, sebanyak 1,406 laman web judi online disekat oleh PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

“KDN juga terbabit dengan kajian undang-undang berkaitan perjudian. Ini termasuk meneliti dari segi kadar hukuman, pemakaian undang-undang dan skop pelesenan untuk memastikan undangundang berkenaan sentiasa relevan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.