Malaysia konsisten sokong Palestin

64

3 NOV: Pendirian Malaysia amat jelas dan konsisten untuk terus menyokong pembentukan negara Palestin dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pendirian berkenaan adalah selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berikutan itu, Wisma Putra akan terus mengetengahkan pendirian Malaysia dengan menyokong usaha jujur, konkrit dan realistik demi membantu Palestin serta mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

KAMARUDIN JAFFAR
KAMARUDIN JAFFAR

“Kementerian Luar akan meneliti secara terperinci Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa Bil 1 Tahun 2020 yang diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam.

“Selaras dengan dasar Kerajaan yang komited menyokong Palestin, Kementerian Luar akan membuat pertimbangan serius terhadap syor-syor yang dikemukakan dalam laporan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, kementerian berkenaan juga akan menyelaras tindakan susulan membabitkan kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan memandangkan syor-syor berkenaan turut meliputi perkara-perkara bawah bidang kuasa mereka.

“Kementerian Luar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa kerana menjemput wakil daripada kementerian ini untuk memberi taklimat ketika Mesyuarat Jawatankuasa pada 7 Februari lalu.

“(Mesyuarat itu turut menyentuh) mengenai hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Palestin, serta inisiatif Malaysia bagi membantu rakyat Palestin dan mendokong perjuangan mereka,” katanya.

Semalam, Parlimen meluluskan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan pertama mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Palestin.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang juga Ketua Laporan berkenaan dilaporkan berkata, menerusi laporan berkenaan beberapa cadangan dikemukakan antaranya, mempercepat perjanjian perdagangan bebas dengan Palestin untuk mendorong aktiviti perdagangan dua hala yang lebih besar.

Selain itu, turut dicadangkan ialah untuk meningkatkan sumber daya bagi meningkatkan pembangunan modal insan untuk Palestin melalui biasiswa pendidikan, dan meningkatkan bantuan sekurang-kurangnya tidak kurang dari RM10 juta setahun ke Palestin dari purata semasa iaitu RM4.6 juta setahun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.