Lebih 5,500 kilang haram di Selangor

236

3 NOV: Sebanyak 869 daripada 5,589 kilang tanpa kebenaran di seluruh Selangor berada di sekitar sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, daripada 869 kilang itu, sebahagian besarnya terletak di hilir sungai atau selepas muka sauk loji rawatan air (LRA).

Tambah Ng, daripada jumlah 869 kilang tanpa kebenaran di sekitar sungai, 546 adalah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya (23), Majlis Perbandaran Klang (20), Majlis Perbandaran Kajang (155), Majlis Perbandaran Selayang (75), Majlis Perbandaran Sepang (dua), Majlis Perbandaran Kuala Langat (27), Majlis Daerah Kuala Selangor (14) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (tujuh).

“Kerajaan negeri amat memandang serius isu kilang tanpa kebenaran namun sering kali terdapat kekeliruan terhadap status kilang ini.

“Saya ingin jelaskan, kilang tanpa kebenaran adalah kilang yang ada lesen perniagaan sementara tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang. Mereka bukan kilang yang menjalankan aktiviti haram,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Bersatu-Dengkil, Adif Shan Abdullah mengenai apakah tindakan proaktif kerajaan negeri menghalang operasi kilang haram.

Menurut Ng, kerajaan negeri berpandangan kilang tanpa kebenaran wajar diberi peluang dan disebabkan itu, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran yang ditukar nama kepada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor yang berakhir 30 Sept lepas dilanjutkan sehingga 31 Dis ini.

Katanya, pelanjutan tempoh pemutihan itu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19 namun selepas tarikh akhir itu, tindakan lanjut secara bersepadu mengikut peruntukan undang-undang akan dilaksanakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.