Kerajaan terus komited bangunkan Kampung Baru

88

3 NOV: Kerajaan sudah mengenal pasti kaedah baharu untuk meneruskan pembangunan dan kemajuan Kampung Baru, yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan itu perlu selepas Pelan Konsep Pembangunan Kampung Baru 2019 tidak dipersetujui oleh pemilik tanah di situ.

Ahli Parlimen BN Ketereh itu menegaskan usaha terakhir dilakukan untuk membangunkan dan memajukan kawasan terbabit iaitu menerusi pelaksanaan Pelan Konsep Pembangunan Kampung Baru 2019 berasaskan tawaran pembelian tanah daripada pemiliknya tidak berhasil.

Bagaimanapu, Annuar berkata selepas kajian dibuat didapati hanya kira-kira 64 peratus pemilik tanah Kampung Baru yang memberikan respon positif.

Berikutan itu, Annuar berkata pembangunan Kampung Baru menerusi konsep pembelian tanah daripada pemiliknya tidak dapat diteruskan.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna pembangunan Kampung Baru akan terhenti di situ. Malah, ketika ini kementerian dengan kerjasama Perbadanan Kampung Baru (PKB) sedang mengambil langkah seterusnya untuk membangunkan kawasan berkenaan dengan membangunkan Pelan Induk Pembangunan Kampung baru yang baharu.

“Mengikut pelan induk berkenaan Kampung Baru akan dipecahkan mengikut lebih 40 parcel dan akan dibangunkan secara ‘organik parcel ke parcel’.

“Justeru, kita percaya bahawa pendekatan ini dapat menyelesaikan isu pemilikan tanah oleh pihak terbabit dapat diselesaikan dengan lebih mudah. Malah, beberapa parcel tanah tertentu di Kampung Baru akan mula dibangunkan mulai tahun depan,” katanya ketika pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Annur berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan perkembangan kemajuan urusan perundingan penyelesaian berkaitan isu tanah Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Annuar berkata kementeriannya telah membida peruntukan berjumlah RM1.5 bilion daripada Kementerian Kewangan menerusi Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12) bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di Kampung Baru, pada masa depan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.