Isu Injil: Nik Zawawi mohon maaf

1,137

3 NOV: Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh membuat permohonan maaf kepada penganut Kristian dan rakyat Malaysia yang tergores hati dengan ucapan beliau berhubung isu kitab Injil sebelum ini.

Beliau membuat permohonan maaf itu selepas sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya mohon maaf jika ada yang tergores, saya tidak berniat begitu. Apa yang saya niat adalah hendak pertahankan kitab Injil asal yang diturunkan kepada Nabi Isa, tanpa ada sebarang perubahan,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Ahli Parlimen PAS itu menarik balik kenyataannya pada 26 Ogos lalu dan memohon maaf.

Nik Muhammad Zawawi sebelum ini dilaporkan enggan meminta maaf berhubung ucapannya di Dewan Rakyat mengenai kitab Injil ‘dipesongkan’ dan penganut Kristian tidak mempunyai ‘hak untuk tersinggung’.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Beliau dilaporkan berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), yang mengatakan bahawa kenyataan itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Menjawab kenyataan Koo Ham itu, Nik Muhammad Zawawi mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil ‘dipesongkan atau diubah’.

Dalam ucapan permohonan maaf itu, Nik Muhammad Zawawi menjelaskan beliau sangat menghormati rakan yang memeluk pelbagai agama lain, namun dalam hal berkaitan kitab Injil ia bukan berkaitan dengan penganut agama Kristian sahaja.

“Kami umat Islam turut beriman dengan Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa. Ini adalah akidah kami yang perlu dipertahankan supaya ia tidak dipesong atau dipinda.

“Saya mempertahankan keaslian kitab yang ada supaya tiada mana-mana kitab lain dengan perubahan,” katanya.

Beliau menjelaskan pada perbahasan itu, Khoo Ham ada menyatakan bahawa secara umum ajaran Kristian membenarkan penganutnya minum arak.

Katanya, berdasarkan fakta akademik ada tiga aliran dalam Kristian berkenaan kebenaran meminum arak.

“Justeru hari ini, saya tarik balik perkataan ‘pesong’ yang saya gunakan dalam mempertahankan perbahasan saya yang lalu. Saya memohon maaf jika ada yang terguris hati kerana tindakan saya hanya untuk mempertahankan kitab Injil yang asal tanpa sebarang perubahan,” katanya.

Pada 9 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan saksi berkaitan kes itu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.