Beri SPR kuasa tangguh pilihan raya

159

3 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya diberi kuasa menangguhkan pilihan raya semasa krisis berlaku termasuk yang melibatkan kesihatan, huru-hara dan bencana atau keadaan yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, bagi tujuan itu, satu peruntukan yang khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan memberi kuasa kepada SPR bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara.

Ab Rashid Ab Rahman
AB RASHID AB RAHMAN

“ERC berpandangan beberapa peruntukan baharu harus diperkenalkan dengan tujuan mengatasi keadaan-keadaan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik yang boleh menghakis kebebasan, keadilan dan ketelusan.

“Ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah-kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

“Dalam pilihan raya demokratik setiap calon dan juga setiap parti wajar diberikan peluang seluas-luasnya untuk berkempen dan pengundi tidak harus dibatasi dengan peraturan-peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka untuk menunaikan tanggungjawab secara adil dan bebas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ab Rashid yang juga bekas Pengerusi SPR mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dalam sidang Dewan Rakyat semalam berhubung kesediaan kerajaan untuk mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu membabitkan proses pilihan raya untuk mengekang penularan COVID-19.

Beliau menambah, kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa untuk menguruskan pilihan raya di mana badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila wujud kekosongan.

“Walau bagaimanapun tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya. Mengikut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, SPR wajib mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam masa 60 hari.

“Oleh itu, sudah tiba masa peruntukan baharu iaitu memasukkan artikel atau subartikel baharu dalam Perlembagaan Persekutuan atau seksyen baharu dalam Akta Pilihan Raya 1954 disediakan bagi memperkasakan SPR yang diberi amanah untuk mengendalikan dan menguruskan pilihan raya di negara ini,” jelasnya.

Ab Rashid memberitahu, ERC juga menyambut sekiranya ada usaha untuk memperkasakan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semasa krisis kesihatan, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah minggu lalu.

Beliau berkata, dalam laporan ERC yang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Ogos lalu, sebagai salah satu penambahbaikan elemen kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi luar jangka, dicadangkan agar SPR membangunkan garis panduan khusus berkaitan dengan pengurusan pilihan raya ketika kecemasan.

“Ini meliputi keadaan dan kecemasan seperti mala petaka alam, rusuhan ataupun perintah berkurung seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (susulan wabak penyakit yang sukar diatasi dalam waktu yang singkat),” katanya.

Ab Rashid menyatakan, susulan laporan yang telah diserahkan itu, ERC bersedia untuk membantu kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan peruntukan baharu berkaitan dengan keperluan menangguhkan pilihan raya semasa krisis, sekali gus menjadikan sistem pengurusan pilihan raya di negara ini adalah yang lebih efektif dan adil. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.