636 syarikat terlibat pencemaran air

92

3 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap 636 syarikat kerana melakukan kesalahan menyebabkan pencemaran air sejak Januari sehingga 30 September lalu.

Pada masa sama, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, JAS juga mengambil tindakan tegas terhadap 2,323 syarikat kerana ketidakpatuhan kepada pengurusan buangan terjadual.

Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian itu berkata, tindakan itu adalah hasil 17,445 pemeriksaan dilakukan JAS ke atas premis-premis tertakluk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di seluruh negara dan selepas menerima 7,872 aduan berhubung dengan pencemaran alam sekitar.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,280 premis adalah tertakluk kepada peraturan yang berkaitan kawalan pencemaran air manakala 7,389 premis yang diperiksa menghasilkan buangan terjadual yang perlu diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Dalam hal ini, JAS telah mengambil 7,042 tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang merangkumi 1,159 tindakan undang-undang ke atas 636 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan dengan pencemaran air; mengeluarkan 751 Kompaun, 380 Notis Arahan; 7 premis digantung lesen, 9 dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan, 1 Perintah Larangan dan 11 penyediaan Kertas Siasatan untuk tindakan pendakwaan.

“JAS juga mengambil 5,700 tindakan undang-undang ke atas 2,323 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual. Ini merangkumi 4564 Kompaun, 1,130 Notis Arahan; 2 premis digantung lesen dan 4 penyediaan Kertas Siasatan untuk tindakan pendakwaan.

“Bagi tempoh 1 Januari 2020 sehingga 30 September 2020 juga, 61 premis telah dibawah ke mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM 1.489 juta atas kesalahan berkaitan pencemaran air dan pengurusan buangan terjadual. Jumlah kutipan denda melalui tindakan kompaun adalah RM 4.589 juta menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM6.079 juta,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin dan 13 Ahli Parlimen lain berkaitan isu pencemaran sumber air yang menjejaskan operasi loji rawatan air terutama di Lembah Klang, baru-baru ini.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menegaskan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memandang serius isu-isu pencemaran secara proaktif dan reaktif dengan tegas sehingga mendakwa penjenayah alam sekitar ke muka pengadilan dan juga memastikan gangguan air tidak berulang.

Sebagai contoh, beliau berkata, insiden pencemaran sumber air di Sungai Gong iaitu salah satu anak sungai Selangor pada 3 September 2020 dan berulang pada 18 Oktober 2020, dan Sungai Semenyih pada 4 Oktober 2020 bukan sahaja mendatangkan kesusahan kepada jutaan penduduk di Lembah Klang, malah kehilangan besar kepada sektor ekonomi dan turut menjejaskan imej negara.

Berikutan itu, Tuan Ibrahim mengesahkan KASA bercadang meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi membolehkan tindakan lebih tegas dan hukuman lebih berat diambil terhadap penjenayah alam sekitar yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan sumber air.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan Akta 655 berkenaan sedang dibuat sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan di peringkat dasar pada Disember depan.

“Hukuman denda bagi kesalahan mencemar air di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dicadangkan untuk ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada 1 tahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

“JAS juga sedang dalam proses meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pindaan yang dilakukan melibatkan hukuman dan penalti yang lebih tinggi daripada nilai sedia ada. Selain daripada itu, nilai kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Akta ini juga akan ditingkatkan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pindaan berkenaan dijangka dapat dibentangkan pada tahun 2021 dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Sidang Parlimen Ke-14 bagi mengenakan denda dan hukuman yang lebih berat ke atas penjenayah alam sekitar.

Tambah beliau, pindaan berkenaan juga akan dibuat bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai polis untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah kedua-dua akta terbabit. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.