2 pengarah syarikat tak mengaku cemar Sg Gong

58

3 NOV: Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang.

Walau bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dua tuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajuddin.

Mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada FG Auto Parts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis berkenaan di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau, Batu Arang Rawang dekat sini antara 17 dan 19 Oktober lalu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan kedua pula, mereka dengan niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.