1,054 kes baru, 12 kematian termasuk remaja 14 tahun

520

3 NOV: Kes baru COVID-19 kembali melepasi empat angka hari ini dengan 1,054 kes dilaporkan dengan Sabah dan negeri-negeri Lembah Klang terus melaporkan penularan yang tinggi.

Paling mendukacitakan, apabila 12 kes kematian dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini yang jyga angka harian tertinggi kematian pernah dilaporkan setakat ini.

Dengan pertambahan tersebut, jumlah kumulatif kematian kini menjadi 263 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan pesakit sembuh yang dilaporkan hari ini berjumlah 875 kes.

Menurut beliau, keseluruhannya 34,393 kes COVID-19 dicatatkan setakat tengah hari ini dengan pertambahan dua lagi kluster dan jumlah kes aktif COVID-19 pula berjumlah 10,135 kes.

“Mereka telah diasing untuk rawatan dan daripada jumlah itu, 94 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan 12 lagi kematian dilaporkan hari ini. Kesemua kes adalah di Sabah melibatkan kematian di beberapa hospital antaranya di Kudat, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

“Ini termasuk seorang remaja berusia 14 tahun yang meninggal dunia di Hospital Kota Kinabalu. Beliau mempunyai latar belakang sakit tibi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, Sabah mencatatkan 678 kes bersamaan 64.3 peratus daripada keseluruhan kes baharu.

Katanya, 290 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada manakala 221 kes lain adalah saringan kontak rapat.

“Selangor pula melaporkan 124 kes baharu dengan 61 kes dari kluster sedia ada manakala 35 kes lain daripada saringan kontak rapat dan baki 28 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

“Sementara itu, 81 kes dilaporkan di Labuan melibatkan 58 kes dari kluster sedia ada, 15 daripada saringan kontak rapat dan 3 kes daripada saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi. Baki 5 kes lagi adalah lain-lain saringan COVID-19.

“Ini diikuti Negeri Sembilan dengan 71 kes, Pulau Pinang, (35), Sarawak (21), Kedah (12), Kuala Lumpur (10), Putrajaya (3), Perak (2), Johor (1), Melaka (1) dan Terengganu, satu,” jelasnya.

Katanya, daripada 1,054 kes baharu pada hari ini, terdapat 14 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara.

“Mereka melibatkan ketibaan dari Korea Selatan (4 kes); Jepun (2 kes); Filipina (2 kes); Uzbekistan (1 kes); China (1 kes); Hong Kong (1 kes); Nepal (1 kes) United Kingdom (1 kes); dan Republik Maldives (1 kes),” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.