Wujud program khas bantu koperasi nazak

89

2 NOV: Kerajaan diharapkan memberi perhatian khusus dalam membantu koperasi yang nazak dan berisiko untuk gulung tikar.

Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, kerajaan seharusnya mempunyai perancangan komprehensif dalam membantu koperasi yang mengalami kerugian dalam pengurusan kewangan yang telah dijalankan oleh jawatankuasa mereka.

Jalaluddin Alias

Menurut beliau, kerajaan harus terima hakikat bahawa mereka seharusnya diberikan bantuan dan susbidi bagi mengupayakan koperasi bermasalah itu daripada sentiasa mengalami kerugian di samping dapat meningkatkan sumber pendapatan ahli koperasi.

“Adakah pihak kerajaan menyediakan bantuan khusus seperti berbentuk geran atau bentuk kewangan untuk menaikan status koperasi berkenaan. Mungkin agak terlewat cadangan saya namun amat berharap akan ada satu pengumuman khas khusus buat koperasi dalam pembentangan Belanjawan 2021.

“Jika boleh beri bantuan Prihatin Nasional kepada rakyat, geran khas kepada usahawan kecil mengapa tidak memperuntukan sejumlah wang bagi memberi bantuan khusus kepada koperasi yang nazak dan miskin.

“Semua pihak terkesan perlu dibantu sebaiknya. Harap jika ada peluang dimasukan sebarang bantuan khas khusus dalam belanjawan. Moga dapat dipertimbangkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Kewangan,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Jalaluddin memberitahu, Kerajaan Persekutuan juga perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mewujudkan premis desa dan perniagaan sebagai aset yang mampu memberi pendapatan baharu kepada mereka.

“Lakukan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi tanah dan peruntukan kepada koperasi yang mempunyai ahli-ahli terdiri daripada kakitangan awam, guru-guru, pegawai rendah kerajaan.

“Dengan tanah boleh mewujudkan premis desa dan perniagaan umpamanya yang diserahkan kepada koperasi berkenaan. Ini barulah koperasi ini boleh berdaya maju dan meingkat dalam soal pendapatan tahunan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga harus mencari jalan demi memberikan perspektif baharu kepada koperasi di negara ini yang dilihat aktiviti yang dilakukan mereka bersifat kekampungan dan konvensional.

Menurut beliau, perkara ini menjadi cabaran besar buat koperasi yang hakikatnya andaian tersebut adalah tidak tepat dan harus dilakukan segera oleh kerajaan dalam meningkatkan revolusi martabat koperasi setaraf syarikat yang memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Apakah perancangan khusus dibuat kerajaan bagi memastikan koperasi memainkan peranan besar daripada sekecil-kecil untuk membangunkan ekonomi masyarakat khusus luar bandar sehingga menjadi antara penyumbang kepada KDNK negara.

“Pihak kementerian diharapkan mempunyai perancangan membantu koperasi luar bandar yang mempunyai kepakaran yang sangat minima dan pengurusan koperasi mempunyai keboleh upaya urus koeprasi dan menggaji pakar perniagaan usahawan yang sangat minimal,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.