Selepas lebih sejam, Mujahid keluar dari Bukit Aman

209

2 NOV: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof selesai memberi keterangan kepada polis selepas lebih sejam berada di Bukit Aman petang ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu dilihat keluar dari pekarangan Bukit Aman kira-kira jam 7.20 malam tadi ditemani peguamnya, Norazmir Zakaria.

Ketika ditemui pihak media kemudiannya, Mujahid meminta semua pihak untuk menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.

“Kemudian kita tengok proses seterusnya. Saya akan menunggu sama ada diperlukan (diambil keterangan) atau diteruskan pendakwaan,” katanya.

Proses mengambil keterangan ke atas Mujahid itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu hadir ke Bukit AMan jam 5.35 petang.

Mujahid berkata, beliau diambil keterangan bermula jam 6 petang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948.

“Ini adalah di atas laporan yang diterima oleh pihak polis berkenaan ucapan yang saya buat pada Mac lalu di kawasan (Parlimen) saya di Parit Buntar (Perak).

“Saya tak ingat tarikh tepat ucapan itu tetapi yang pasti pada Mac itu setelah jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan selepas selesainya pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Ditanya mungkin beliau akan lebih berhati-hati, Mujahid berkata ucapannya adalah sifat sebagai ahli legislatif.

“Atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen dan semua yang saya cakap itu sudah berpandukan kepada sifat saya sebagai ahli legislatif,” katanya.

Sementara itu, Noorazmir berkata, sepanjang tempoh diambil keterangan pihak polis lebih kepada mahu mengetahui apakah maksud sebenar inti ucapan Mujahid, Mac lalu.

“Anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik. Sebab itu rakaman tadi amat singkat, tidak ada apa-apa hendak diperjelaskan dengan panjang lebar,” katanya.

Sebelum ini, satu laporan polis dibuat ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada Mac lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.