Perkenal cukai baru ke atas orang kaya – Pemuda UMNO

283

2 NOV: Kerajaan disarankan menimbangkan pengenalan cukai bersesuaian untuk dikenakan ke atas orang kaya atau T20 sebagai satu bentuk sumber pendapatan baru untuk negara dalam tempoh kemelut COVID-19 ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cukai-cukai berkenaan termasuk cukai kekayaan atau wealth tax sementara menunggu pemulihan ekonomi yang kini terkesan.

Katanya, dua lagi prinsip yang dicadangkan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021 ialah belanjawan mengembang dan tidak terikat dengan kedudukan fiskal negara.

“Di bawah Belanjawan Mengembang, UMNO mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan perbelanjaan defisit dan memberikan tumpuan kepada program-program dan pembiayaan yang berimpak segera dan tinggi kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, perkara itu seperti terkandung dalam Memorandum Suara Rakyat Bagi Belanjawan 2021 yang dikemukakan Pemuda UMNO kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.

Isi kandungan memorandum berkenaan dideahkan Asyraf Wajdi dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, Pemuda UMNO juga menggariskan enam teras yang perlu diberi perhatian Kementerian Kewangan iaitu meningkatkan aliran tunai rakyat, meningkatkan tahap ketahanan perniagaan dan memastikan kesejahteraan rakyat.

Selain itu katanya, tiga lagi teras ialah meningkatkan bilangan pekerjaan, ransangan ekonomi melaui projek berinfrastruktur berimpak tinggi dan insentif khas untuk barisan hadapan.

“Menerusi teras meningkatkan aliran tunai rakyat, terdapat 15 perkara dicadangkan termasuk lanjutan moratorium, kebenaran pengeluaran KWSP, bantuan khas sara hidup untuk yang dibuang kerja, yuran universiti awam percuma, bantuan e-wallet RM50 selama 12 bulan kepada penuntut IPT untuk pembelian data bagi pembelajaran online.

“Turut dicadangkan, lanjutan penangguhan pembayaran sewa bulanan kepada penduduk PPR/PPRT, bayaran khas buka sekolah, bantuan tunai pekebun kecil, bantuan khas ibu tunggal, mereka yang gilang pekerjaan di samping pengurangan cukai pendapatan keluarga muda B40 dan M4O,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.