Pelajar Malaysia dibunuh, Presiden Taiwan minta maaf

271

2 NOV: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen memohon maaf kepada keluarga pelajar Malaysia yang dibunuh di selatan Taiwan, serta kepada rakyat Malaysia atas kejadian itu.

Memetik laporan Agensi Berita Pusat (CNA) Taiwan, beliau berkata, insiden terbabit mencalar imej Taiwan sebagai negara yang selamat dan mesra, dan mendedahkan masalah dalam kalangan rakyat negara itu yang perlu diteliti supaya tragedi seumpamanya tidak berulang

“Presiden Taiwan menzahirkan permohonan maaf kepada keluarga pelajar dan rakyat Malaysia,” kata jurucakap Pejabat Presiden, Xavier Chang.

Sementara itu, Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang, turut menzahirkan permohonan maaf bagi pihak kerajaan dan memaklumkan sudah mengarahkan agensi berkaitan untuk membantu keluarga mangsa dalam urusan pasca tragedi.

Mangsa, Irene Chung, 24, pelajar tahun ketiga yang menyambung pengajian di universiti di Tainan, dilaporkan hilang oleh pihak institusi pengajian itu pada pagi Khamis lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan gadis itu berjalan seorang diri di laluan kereta api berhampiran universiti itu sekitar jam 8 malam Rabu lalu, sebelum dilaporkan hilang.

Menerusi rakaman CCTV itu, polis menemui dan menahan seorang suspek pada Khamis, yang disyaki menculik mangsa berhampiran universiti berkenaan.

Suspek kemudian mengaku menjerut mangsa menggunakan tali dan membuang mayatnya berhampiran kawasan pergunungan di daerah Alian, Kaohsiung.

Berdasarkan pengakuan suspek, polis berjaya menemui mayat mangsa.

Suspek ditahan atas kesalahan membunuh dengan sengaja dan serangan seksual, dan kes itu kini sudah diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya Daerah Ciaotou di Kaohsiung.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.