PDRM panggil Mujahid beri keterangan

1,037

2 NOV: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) era Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman, hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebook miliknya berkata, beliau dipanggil memberikan keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Bukit Aman, pada jam 5 petang ini.

“Insya Allah petang ini saya akan ke Bukit Aman bagi diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5.

“Doakan semoga semuanya dipermudahkankan. Amin,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mujahid tidak menjelaskan kenapa beliau dipanggil memberi keterangan ke Bukit Aman.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu sebelum ini menerima kecaman hebat ekoran isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji.

Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung kenapa dan mengapa Mujahid dipanggil ke Bukit Aman untuk direkodkan keterangannya.

Difahamkan, Mujahid dipanggil berikutan laporan polis yang dibuat oleh ramai terhadap kenyataan beliau dalam Facebook, baru-baru ini.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.