Muat naik komen jelik, Lokman direman sehari

384

2 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam direman sehari bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Lokman ditahan bagi membantu siasatan ke atas video berunsur ugutan jenayah dan komen jelik yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya.

Huzir berkata, siasatan dimulakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman selepas menerima satu laporan polis ke atas Lokman, semalam.

Huzir
HUZIR MOHAMED

“Siasatan dijalankan berhubung satu video yang dimuat naik oleh pemilik Facebook Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan yang jelik sifatnya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan yang kurang sopan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lokman ditahan kira-kira jam 11 malam tadi dan polis turut merampas gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular itu.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan dibenarkan selama satu hari. Siasatan lanjut masih diteruskan. PDRM akan menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Pada masa sama, Huzir juga menggesa semua pihak memberi ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan secara telus dan adil.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” tegas beliau.

Lokman ditahan polis di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, pada kira-kira jam 11 malam tadi. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.