Maszlee keluar Pejuang, tolak politik catur kuasa elitis

2,216

2 NOV: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengumumkan penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberi alasan ingin menumpahkan sepenuh usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19, khususnya di Simpang Renggam dan seluruh negara.

Bekas Menteri Pendidikan era Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.

“Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, timbul desas-desus berhubung kedudukan Maszlee dalam Pejuang apabila kenyataan parti berhubung Belanjawan 2021 dan isu semasa semalam tidak memaparkan nama beliau.

Selain itu, beliau dikatakan mempunyai pendirian berbeza dengan Pejuang dalam polemik sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Maszlee menambah, beliau akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas serta aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan.

“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.