Ketepi perbezaan, hentikan perbalahan politik – Azhar

32

2 NOV: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya mengetepikan perbezaan dan perbalahan politik dalam memainkan peranan membendung pandemik COVID-19.

Berikutan itu Azhar mengingatkan semua Ahli Parlimen, sama ada dari blok penyokong kerajaan mahupun pembangkang supaya dapat bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

“Seperti mana yang Yang Berhormat sedia maklum, perjuangan mengekang penularan COVID-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia, masih belum selesai. Ia sesungguhnya memberi kesan dan menjejaskan banyak pihak termasuk rakyat negara ini.

“Saya mengajak semua ahli Yang Berhormat tanpa mengira latar belakang dan khususnya (perbezaan) fahaman politik (untuk) mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan, bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dan membantu kerajaan dan pihak berkuasa dalam membendung COVID-19,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum mempengerusikan hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hari ini.

Beliau yang berkata demikian ketika pemasyhuran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, turut memaklumkan langkah berjaga-jaga diambil termasuk mengedarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua Ahli Parlimen.

Azhar berkata, tindakan itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan supaya memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.