Hanya perlu 20 ahli tubuh koperasi

260

2 NOV: Penubuhan koperasi asas selepas ini hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 ahli berbanding 50 orang sebelum ini jika Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 diluluskan di Dewan Rakyat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata cadangan pindaan itu selain memudahkan orang awam menubuhkan koperasi, ia juga mempunyai cadangan yang akan memudahkan pentadbiran satu-satu koperasi.

“Dahulu juga kita perlukan sekurang-kurangnya 25 ahli untuk sign (tanda tangan) pengesahan minit mesyuarat, dengan pindaan ini kita cadangkan hanya sepuluh orang sudah cukup untuk mengesahkan minit mesyuarat.

“Pindaan ini juga dapat kukuhkan koperasi yang terdiri sekurang-kurangnya 20 orang boleh didaftar sebagai koperasi asas. Buat masa ini, satu koperasi dikehendaki 50 orang sebelum boleh didaftar sebagai satu koperasi asas,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen GPS Santubong berkata, rang undang-undang itu juga mencadangkan pindaan supaya Ahli Lembaga sesuatu koperasi dikurangkan dari enam sebelum ini kepada hanya tiga orang.

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda perenggan 12(b) akta berkenaan untuk meniadakan kehendak dikenakan ke atas suatu koperasi mendapatkan kelulusan bertulis daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebelum ia boleh mempamerkan nama atau logo di setiap cawangannya.

“Ia juga bertujuan meminda subseksyen 50 akta berkenaan untuk mengurangkan bilangan minimum Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman sesuatu koperasi daripada tiga kepada dua.

“Pindaan itu juga untuk peruntukan bahawa kumpulan wang sesuatu koperasi boleh didapatkan peminjam dari mana-mana kewangan berlesan atau yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh koperasi,” katanya.

Tambahnya, pindaan turut dicadangkan terhadap subseksyen 72(1) akta itu untuk memperuntukkan bahawa pembatalan pendaftaran sesuatu koperasi hanya boleh dibuat SKM sekiranya bilangan ahlinya kurang daripada lima berbanding 15 sebelum ini.

“Subsekyen 8 1 juga dilakukan pindaan bagi membenarkan SKM di bawah peruntukan khas didaftar satu koperasi terdiri sekurang-kurangnya lima orang sahaja yang sebelum ini memerlukan 20 orang yang tidak bersifat professional dan teknikal,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.