Gubal akta baharu kalau ramai langgar SOP

42

2 NOV: Kerajaan mungkin memperkenalkan satu akta baharu jika orang ramai masih tidak mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi menangani penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, langkah itu perlu dilakukan supaya kehidupan norma baharu dengan mematuhi SOP dapat diterapkan dan dijadikan amalan oleh rakyat setiap hari selagi vaksin COVID-19 tidak ditemui.

“Kerajaan akan sentiasa memantau dengan usaha kita memasukan norma-norma baharu dalam kehidupan masyarakat dalam mengekang penularan COVID-19.

“Namun sekiranya rakyat secara umum masih tidak memahami norma baharu jika perlu akan mewujudkan akta-akta tertentu. Kerajaan sentiasa akan mengkaji dan membuat perancangan (perkara itu) dan akan dibentangkan kepada rakyat,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

MOHD REDZUAN MD YUSOF
MOHD REDZUAN MD YUSOF

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias yang bertanya sama ada kerajaan akan mewujudkan akta baharu bagi mengekang penularan COVID-19 secara keseluruhan.

Dalam pada itu, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun berhubung langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga, Mohd Redzuan memberitahu, Kerajaan akan sentiasa mengadakan perbincangan bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, barisan petugas hadapan sentiasa dalam keadaan siap siaga dan akan memberi hebahan kepada masyarakat dengan pantas sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 di kawasan mereka.

“Sebagai contoh, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bersidang setiap hari untuk menyemak contohnya pencapaian petugas barisan hadapan agar dapat mengetahui bagaimana kita perlu menambah baik untuk elakan keresahan rakyat.

“Kita akan sentiasa semak dan mengkaji untuk memberi keyakinan kepada rakyat yang mereka ini mampu untuk bergerak dengan keadaan apa sekalipun yang kini kita tahu COVID-19 berada di sekeliling kita,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.