Banyak kekangan anjur sidang Parlimen secara maya

123

2 NOV: Sidang Dewan Rakyat termasuk sesi pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada Jumaat ini tetapi diteruskan seperti biasa walaupun terdapat kakitangan Dewan Negara yang positif COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat banyak kekangan dari segi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Parlimen sekiranya sidang Dewan Rakyat dilakukan secara maya.

Menurut beliau, Perkara 62 (5) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undian untuk meluluskan belanjawan atau rang undang-undang mesti dilakukan di dalam Parlimen.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Parlimen Australia pernah mengadakan sidang secara maya tetapi mereka tidak boleh mengundi.

“Waktu perbahasan, nak mencelah pun tak boleh. Banyak kekangan yang menyusahkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, sidang Dewan Rakyat kali ini juga diadakan dengan perosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan waktu bersidang disingkatkan.

Beliau menambah, selain kuarantin untuk Ahli-ahli Parlimen dari Sabah, setiap Ahli Parlimen juga hanya dibenarkan membawa dua pegawai sahaja.

Ismail Sabri berkata, jumlah Ahli Parlimen yang berada di dalam dewan pada satu-satu masa turut dikurangkan hingga ke tahap mencukupi kuorum.

Sementara itu, beliau memaklumkan, SOP berkaitan perayaan Deepavali akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.