Akta Rukun Tetangga akan diberi nafas baru

213

2 NOV: Kementerian Perpaduan Negara bercadang untuk meminda Akta Rukun Tetangga 2012 bagi memastikan penambah baikan keberkesanan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara dapat dilakukan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, walaupun masih di peringkat perancangan, akta tersebut seharusnya dan wajar dinilai semula memandangkan sudah wujud Kementerian Perpaduan Negara pada tahun ini.

“Nak maklumkan selaras dengan penubuhan Kementerian Perpaduan pada 10 Mac lalu, maka wajar Akta Rukun Tetangga 2012 ini diberikan nafas baharu, wajar dinilai kembali dan merupakan hasrat kementerian untuk meminda dan memberi penambahbaikan.

“Penambah baikan yang dilakukan mungkin dari segi keberkesanan dan fungsi serta skop jawatankuasa KRT dan SRS sebagai jentera utama dalam mengukuhkan perpaduan dan dasar-dasar kerajaan di peringkat komuniti.

“Ini juga akan memberi nilai tambah ilmu dan imej Rukun Tetangga berdasarkan pelan yang akan dilakukan oleh Kementerian Perpaduan Negara,” katanya dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyatakan jika kementerian bercadang untuk melakukan pindaan Akta Rukun Tetangga yang mampu memberi peranan kepada anggota KRT dan SRS dalam membendung jenayah.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan asal Ahmad Jazlan menyatakan inisiatif untuk menarik minat masyarakat untuk menyertai KRT dan SRS, Halimah memberitahu, pihaknya akan melaksanakan penjenamaan semula bagi penambah baikan dua badan tersebut dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa komuniti.

Menurut beliau, perkara yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan itu menyasarkan 3,000 KRT yang mempunyai 5941 SRS di samping turut akan memperkasakan lagi moto “Satu KRT Satu SRS” agar setiap perumahan akan ada yang meronda yang terdiri daripada komuniti sendiri.

“Peranan KRT dan SRS dalam tangani COVID-19, sekiranya diarahkan oleh kerajaan, mereka akan menjalankan rodaan kawalan berskala kecil berdasarkan SOP ditetapkan dan juga telah memberikan peruntukan RM 1.5 juta untuk pembelian kelengkaran seperti pembasmi kuman, lampu picit.

“Ini diberikan kepada 1,079 SRS yang akan beri perkhidmatan kawalan komuniti di zon hijau. RM340,000 pula bagi penyediaan PPE yang dijahit sendiri oleh KRT dan akhirnya pengukuhan operasi KRT di mana pemberian tahunan tetap akan diberikan pada KRT dan SRS.

“Di samping itu,pihak kementerian akan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang akan diberikan dalam Anugerah Rukun Tetangga,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.