834 kes baru, 91 peratus di negeri-negeri PKPB

483

2 NOV: Sebanyak 834 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini di seluruh negara dengan 91.7 peratus daripadanya dikesan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Walaupun kes baru masih melepasi angka 800, namun kes pulih COVID-19 hari ini mengatasi bilangan penularan dengan 900 dibenarkan discaj.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 831 penularan tempatan, 503 kes dicatatkan di Sabah.

Katanya, ini diikuti negeri-negeri di Lembah Klang dengan 157 kes yang mana 129 kes dikesan di Selangor diikuti Kuala Lumpur, 22 kes dan Putrajaya enam kes.

Katanya, Labuan pula melaporkan peningkatan kes hampir enam kali ganda berbanding semalam apabila 105 kes dilaporkan hari ini.

“Lonjakan kes positif di Labuan berikutan lebih banyak saringan bersasar dilakukan di lapangan. Antaranya, saringan komuniti di Jalan Tenaga yang menyaksikan 57 kes positif COVID-19 dikesan.

“Untuk makluman, hari ini juga menyaksikan sebanyak 64 kes positif COVID-19 dikenal pasti membabitkan kes di pusat tahanan sementara dan kluster penjara di beberapa lokasi di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, dengan pertambahan penularan baru dan kes pulih hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini berjumlah 9,968 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 91 individu yang disahkan positif COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat dua lagi kes kematian hari ini yang menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 kini menjadi sebanyak 251 kes.

“Kes kematian ke-250 melibatkan seorang lelaki berusia 88 tahun yang meninggal di Hospital Sandakan manakala kes kedua seorang wanita berusia 75 tahun dan meninggal dunia di Hoospital Kota Kinabalu,” jelasnya.

Ujar Noor Hisham, turut melaporkan kes baru COVID-19 hari ini ialah Pulau Pinang dengan 21 kes diikuti Negeri Sembilan (16), Sarawak, (14), Johor (8), Kedah (3), Perak (3), Kelantan (2) dan Pahang, satu kes.

Katanya, terdapat tiga kes import yang mendapat penularan dari luar negara iaitu dari India, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

“KKM juga ingin memaklumkan lima lagi kluster dikenal pasti di Sabah, Labuan, Sarawak, Selangor dan Negeri Sembilan,” -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.