4 ditahan berkait polis maut kemalangan kejar suspek

124

2 NOV: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan kereta peronda polis (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Kangkar Tebrau, semalam, sehingga menyebabkan seorang anggota polis berpangkat konstabel maut, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 27 tahun itu ditahan menerusi tiga serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama sepasukan anggota daripada Balai Polis Bandar Dato Onn, antara 2 petang hingga 9 malam tadi.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu Pandan.

“Wanita berusia 27 tahun berstatus ibu tunggal anak dua yang juga pekerja kilang itu ditahan dahulu, kemudiannya membawa kepada tangkapan susulan dua lelaki masing-masing berusia 24 tahun dan tangkapan terakhir iaitu lelaki berusia 25 tahun yang membawa kenderaan berkenaan.

“Hasil siasatan awal, mengikut kenyataan wanita itu, tiga hari sebelum kejadian mereka mendakwa ada mengambil methamphetamine.

“Kereta ini disewa oleh wanita berkenaan dan memberi pinjam kepada dua lelaki, yang mana seorang daripadanya adalah teman lelaki wanita itu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis menemui dua botol alat hisap ais dalam kenderaan (Perodua Myvi), selain hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 5 November ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, pemandu MPV, Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah dipindahkan ke wad biasa hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas parah.

Ayob Khan berkata, sebelum kejadian, kedua-dua anggota terbabit melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudiannya mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya namun mereka melarikan diri dan anggota berkenaan mengejarnya.

“Ketika tiba di Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Tun Teja, MPV bergesel dengan kereta suspek sebelum terbalik dan dilanggar Perodua Aruz yang dinaiki dua orang awam dari arah bertentangan,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.