Tangguh bukan elak -Saifuddin

45

1 NOV: Bukan nak mengelakkan pilihan raya tetapi menangguhkannya setelah COVID-19 selesai demi mencapai maksud demokrasi di sebalik pilihan raya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jika terlalu banyak prosedur operasi standard (SOP), apakah hasrat mengadakan pilihan raya bebas dan adil mampu dicapai.

Katanya, jika perkara itu berlaku yang menyaksikan sekatan dalam banyak hal, kerajaan juga akahirnya akan dipersalahkan.

“Mungkin kalau boleh ditiadakan pilihan raya dan diadakan pilihan raya hanya pada waktu ketika COVID-19 telah selesai. Bukan nak mengelakkan pilihan raya tetapi menangguhkannya.

“Mungkin satu-satu caranya ialah dengan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut tetapi bukan untuk politik, untuk memastikan rakyat boleh berpartisipasi sepenuhnya dan sebaik-baiknya dalam pilihan raya,” katanya dalam program Temu Bual Astro Awani Khas hari ini.

Beliau mengulas mengenai hal berkenaan susulan perutusan khas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengemukakan darurat sebagai cadangan untuk menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Dalam masa sama, Saifuddin menjelaskan bahawa alternatif lain seperti kemudahan undi pos dilihat kompleks untuk dilaksanakan secara besar-besaran.

“Peraturannya tak membolehkan begitu ramai mengundi pos. Mampukah SPR menguruskan undi pos?” ujar Saifuddin.

Tambah beliau, langkah untuk parti tidak bertanding di PRK Batu Sapi turut boleh menjejaskan proses demokrasi yang sihat.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan menampilkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berkaitan pilihan raya dalam masa terdekat selaras dengan peningkatan kes COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata SOP itu turut akan mengambil kira tiga syor yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, iaitu tidak boleh merentas negeri; sempadan negeri atau daerah, tiada perhimpunan ramai bagi melaksanakan kempen; dan tiada lawatan dari rumah ke rumah.

Abdul Ghani berkata, terdapat beberapa penambahan baharu yang lebih ketat, yang akan dijelaskan nanti seperti kempen melalui media sosial.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.