Muhyiddin bertemu pemimpin, ketua whip PN

165

1 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengadakan pertemuan bersama pemimpin utama parti-parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tengah hari ini di sebuah hotel di ibu negara menjelang sidang Dewan Rakyat bermula esok.

Kelihatan hadir pada pertemuan itu antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jefrey Kitingan.

Turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Selepas lebih sejam, pemimpin terlibat mula meninggalkan Hotel Hilton di Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang tadi.

Ahmad Zahid dilihat antara yang terakhir meninggalkan hotel berkenaan.

Media difahamkan, Muhyiddin masih berada di hotel berkenaan untuk mesyuarat kedua bersama-sama Ketua-ketua Whip parti pendokong PN.

Ini apabila beberapa pemimpin lain dilihat memasuki hotel termasuk Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pemimpin utama yang beredar lebih awal selepas mesyuarat pertama mengunci mulut kepada wakil media dengan Ka Siong menyatakan pertemuan itu hanyalah ‘mesyuarat biasa’.

“Biasalah sebelum sidang Parlimen, kita akan bermesyuarat. Ini mesyuarat biasa sahaja,” kata Ka Siong.

Dalam pada itu, ketika ditemui media selepas berakhir mesyuarat kedua, Mohamed Azmin berkata, ia adalah pertemuan biasa membabitkan pemimpin parti.

“Sebagai ahli parti kerajaan, kami diberi penerangan mengenai situasi terkini. Ia adalah persediaan untuk sesi (parlimen) kali ini,” katanya.

Difahamkan mesyuarat kedua itu akan berakhir kira-kira jam 5 petang nanti.

Memang secara lazimnya, Perdana Menteri mengadakan taklimat mesyuarat pra persidangan bersama pemimpin parti dan ahli Parlimen setiap kali sebelum sidang Parlimen bermula.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.