Konsultasi bajet, Tengku Zafrul jumpa Pas, GPS dan PH

343

1 NOV: Selain bertemu wakil UMNO pada sebelah pagi, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini turut melakukan sesi konsultasi Belanjawan 2021 melibatkan pelbagai blok parti lain.

Menurut Tengku Zafrul, beliau bertemu wakil Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan juga Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah di pejabatnya.

Semalam, sesi konsultasi sama turut diadakan secara sidang video dengan pemimpin utama Parti Warisan Sabah (Warisan) dan juga Ahli Parlimen Bebas, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Tengku Zafrul menerusi Facebook beliau memaklumkan GPS yang diwakili Datuk Aaron Ago Dagang dan Lukanisman Awang Sauni tertumpu kepada pelaksanaan bantuan-bantuan buat penduduk Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman serta peruntukan untuk sekolah dan klinik daif.

“Kesalinghubungan antara kawasan pedalaman ke perkhidmatan dan kemudahan Kerajaan juga antara isu yang dibincang.

“Pas yang diwakili beberapa Ahli Parlimennya pula telah menyampaikan hasrat agar Belanjawan 2021 terus membantu golongan-golongan rakyat seperti petani, nelayan, ibu bapa dan anak-anak bersekolah dalam menghadapi tempoh mencabar ini.

“Selain itu, sokongan demi kelangsungan industri dan perniagaan juga dibangkitkan sebagai keperluan utama kerana impak yang besar kepada ketahanan ekonomi jangka masa pendek dan sederhana,” ujarnya.

Antara Ahli Parlimen Pas yang hadir ialah Datuk Dr. Nik. Muhammad Zawawi Salleh dan Abdul Latiff Abdul Rahman.

Dalam pada itu, seperti dijangka, PH terus berdolak-dalik mengenai sokongan mereka pada Belanjawan 2021.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang ditemui selepas pertemuan itu berkata, ia masih terlalu awal untuk mengatakan PH akan menyokong Belanjawan 2021 yang dibentang PN Jumaat ini.

Jelasnya, mesyuarat PH bersama Tengku Zafrul hari ini baru rundingan pertama untuk menyatakan kesediaan bagi memberikan sokongan terhadap usul tersebut.

Justeru kata ahli parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi, soalan mengenai sikap PH terhadap belanjawan berkenaan ketika ini dianggap pramatang.

“Kita dialog dua jam dan kita ketengahkan enam perkara utama daripada PH. Ini termasuk lanjutan moratorium sehingga 31 Mac 2021,” katanya.

Bersama Saifuddin mewakili PH dalam pertemuan itu 12 ahli Parlimen antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.