Isu COVID-19 bakal hangatkan sidang Parlimen esok

96

1 NOV: Isu kesiapsagaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 yang kemungkinan berterusan sehingga tahun 2021 dijangka bakal menghangat sidang Dewan Rakyat, esok.

Ini jelas apabila lebih 11 persoalan dikemukakan Ahli Parlimen sama ada dari Blok Penyokong Kerajaan PN mahu pun Pakatan Harapan dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat adalah berkisar kepada penularan pendemik Covid-19, kesan dan langkah bakal diambil kerajaan.

Malah, soalan pertama dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di laman web Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Bersatu Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh, meminta Perdana Menteri menyatakan setakat manakah impak ekonomi daripada pandemik COVID-19 khususnya kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan.

Mohd Fasiah juga meminta Perdana Menteri menyatakan impak Covid-19 kepada pelbagai sektor ekonomi negara keseluruhannya serta nyatakan dasar, mekanisme dan langkah untuk memacu ekonomi ke arah berdaya tahan dan mapan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula meminta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik COVID-19 bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes bagi menjamin kepentingan umum.

Sementara itu, Ahli Parlimen GPS Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyatakan apakah inisiatif kementerian dalam memastikan program atau kursus pembangunan keluarga dan masyarakat dapat dijalankan secara berterusan dalam keadaan wabak COVID-19 yang membimbangkan sekarang.

Begitu juga Ahli Parlimen PAS Jerai pula meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan jumlah bantuan yang telah dikeluarkan bagi membantu penjaja kecil sepanjang tempoh COVID-19.

Sementara itu, Ahli Parlimen BN Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan apakah mekanisme pengukuran yang digunakan oleh kementerian bagi mengukur keberkesanan Kempen Membeli Barangan Malaysia membantu menggerakkan ekonomi selepas terkesan dengan wabak pandemik COVID19.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN Besut, Datuk Seri Idris Jusoh pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah langkah-langkah kementerian dalam memastikan sektor pelancongan kembali pulih pasca pandemik COVID-19 khasnya di pulau-pulau pelancongan sekitar Terengganu.

Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan tindakan kementerian dalam usaha pemulihan industri pelancongan dan langkah-langkah terdekat untuk membantu industri pelancongan di Sabah kerana industri tersebut terus terjejas dan belum ada tanda-tanda positif atau pemulihan.

Sementara itu, Ahli Parlimen PH Sungai Petani, Datuk Johari Abdul minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan bagaimana kementerian dapat membantu golongan belia yang berniaga yang terjejas teruk akibat COVID-19. Nyatakan berapa jumlah belia yang telah dibantu dan berikan pecahan mengikut negeri.

dewan rakyat

Dalam pada itu, Ahli Parlimen PH, Bukit Bintang, Fong Kui Lun pula meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kesiapsiagaan Kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga dan kebarangkalian berterusan hingga tahun-tahun hadapan dan langkah mengatasi kesan buruk ke atas negara dan kehidupan rakyat.

Ahli Parlimen PH Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan pula meminta Perdana Menteri menyatakan mengapakah tiada penyelarasan antara Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pendidikan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengumuman PKPB September dan Oktober 2020 membabitan penutupan institusi penggajian tinggi, sekolah, tadika dan taska menyebabkan ibu bapa tidak dapat membuat persiapan awal.

Dalam pada itu Ahli Parlimen PH Bangi, Dr. Ong Kian Ming minta Perdana Menteri menyatakan tarikh Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 diwartakan dan juga tarikh berkuatkuasa.

Ahli Parlimen PH Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pula meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini siasatan kes pelanggaran SOP kuarantin COVID-19 oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 7 Julai lalu sejurus selepas pulang daripada lawatan ke Turki.

Turut bakal mencuri tumpuan ialah isu berkaitan dengan kes penipuan dalam talian, penggubahan wang haram dan Macau Scam.

Berikutan itu tidak hairanlah jika Ahli Parlimen PH, Kota Melaka Khoo Poay Tiong minta Perdana Menteri menyatakan penjelasan mengenai kes judi online Macau Scam yang diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan Oktober, di mana 20 individu termasuk lapan pegawai polis ditahan.

Beliau juga ingin Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap kumpulan sindiket negeri-negeri lain, khususnya yang juga berleluasa di Melaka.

Selain itu, beberapa RUU juga dijangka turut bakal dibentangkan untuk bacaan pertama termasuklah RUU Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; RUU Koperasi (Pindaan) 2020, manakala RUU Racun (Pindaan) 2019 dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dibentangkan untuk bacaan kedua. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.