England umum perintah berkurung sebulan

195

1 NOV: England akan diletakkan di bawah perintah berkurung selama empat minggu bermula Khamis ini sekali gus menyertai negara-negara lain di Eropah yang turut mengambil langkah serupa bagi mengekang penularan COVID-19.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, sepanjang perintah tersebut yang dikuatkuasakan sehingga 2 Disember itu, penduduk England perlu berada di rumah.

“Namun tidak seperti perintah berkurung Mac lalu, pengecualian diberikan untuk mereka yang bekerja, dalam sektor pendidikan dan sukan dengan semua kedai akan ditutup. Sekolah, kolej dan universiti akan terus dibuka.

“Sekarang adalah masanya untuk bertindak kerana kita tiada alternatif lain. Virus kini merebak lebih cepat berbanding jangkaan paling buruk oleh penasihat saintifik,” katanya dalam perutusan dari Downing Street yang disiarkan di televisyen.

COVID-19 kini membunuh sekurang-kurangnya 1.18 juta nyawa dan menjangkiti 45.65 juta individu di seluruh dunia sejak ia dikesan akhir tahun lalu.

Kes jangkitan di United Kingdom (UK) melepasi angka satu juta selepas merekodkan hampir 22,000 kes baharu pada Sabtu.

Scotland, Wales dan Ireland Utara sudah melaksanakan perintah berkurung separa dalam usaha mengurangkan lonjakan kes.

Tindakan Johnson yang menangguhkan perintah berkurung mengundang kritikan yang mendakwa tindakan itu menyebabkan tempoh lama dikenakan untuk penguatkuasaannya.

“Kelewatan kerajaan mengorbankan nyawa dan mata pencarian,” kata Datuk Bandar London, Sadiq Khan, dari parti pembangkang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.