Dua lagi kluster COVID-19 dikenal pasti

323

1 NOV: Dua lagi kluster COVID-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini yang melibatkan Selangor dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster melibatkan daerah Klang dan Petaling di negeri Selangor.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 25 individu telah disaring di mana 17 kes dikesan positif COVID-19 manakala tiga individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kluster kedua hari ini ialah Kluster Tembaga melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di negeri Pulau Pinang.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) pada 28 Oktober 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak enam lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Sehingga 1 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif COVID-19 dan 49 individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebanyak 33 kluster melaporkan penambahan kes hari ini dengan Kluster Hentian di Hulu Langat melaporkan jumlah tertinggi melibatkan 92 individu.

“Keseluruhannya 216 kes positif dilaporkan daripada kluster ini melibaytkan Hulu Langat, Cheras, Titiwangsa, Putrajaya dan Seremban.

“Kluster Utama di daerah Petaling juga melaporkan tujuh lagi kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 243 kes,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.