Bajet: Blok Tun M sedia ikut titah Agong

94

1 NOV: Ahli-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bersedia menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun mereka perlu meneliti terlebih dahulu kandungan dalam belanjawan itu sebelum boleh berbuat demikian.

“Kita nak bersetuju, tapi kita tidak tahu apa dia (kandungan dalam belanjawan). Jadi kita nak tahu apa ada dalam belanjawan,” katanya di Langkawi malam tadi.

Memetik laporan Bernama, beliau ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Pejuang Langkawi di sebuah hotel.

Bekas perdana menteri itu diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh COVID-19.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk meneliti sesuatu dokumen sebelum membuat keputusan menyokongnya di Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini berkongsi sesi perbincangan Bajet 2021 bersama beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sesi itu, menurut beliau akan diteruskan lagi hari ini bersama pimpinan pembangkang.

Mengulas mengenai pendaftaran Pejuang yang masih belum diluluskan, Dr Mahathir meminta JPPM menyatakan dengan jelas perkara yang diperlukan oleh jabatan itu untuk mengesahkan pendaftaran parti tersebut.

“Beritahu apa yang tak lengkap, kita ini berpegang kepada undang-undang, kalau ada melanggar undang-undang kita akan betulkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.