957 kes baru, 91 peratus di Sabah dan Lembah Klang

991

1 NOV: Penularan baru COVID-19 yang mencatatkan penurunan semalam kembali melonjak apabila 957 kes dilaporkan di seluruh negara.

Pada masa sama, kes pulih COVID-19 mengatasi jumlah kes baru dengan 972 pesakit dilaporkan sembuh dengan kes discaj yang tertinggi dicatatkan di Sabah melibatkan 658 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua 957 kes baru hari ini melibatkan penularan tempatan dengan negeri Sabah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 644 kes.

Beliau berkata, negeri-negeri di Lembah Klang yang masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula mencatatkan 230 kes daripada jumlah keseluruhan kes dengan Selangor sahaja mencatatkan 225 kes.

“Keempat-empat negeri ini (Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) telah menyumbang hampir keseluruhan kes iaitu sebanyak 874 kes (91.3 peratus) daripada jumlah harian kes positif COVID-19.

“Ini berikutan lebih banyak pengesanan kes di negeri-negeri tersebut susulan aktiviti di lapangan termasuk pengesanan kontak rapat dan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian, Kajang yang mana melaporkan 91 kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, secara keseluruhannya jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 32,505 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,036 kes.

Katanya, daripada jumlah itu 97 individu positif COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes.

“Daripada 957 kes baharu pada hari ini, tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Untuk makluman juga, sebanyak 80 kes berkaitan pusat tahanan sementara dan kluster-kluster penjara dilaporkan pada hari ini yang terdiri daripada Pusat Tahanan Sementara Tawau (54 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (14 kes), Kluster Penjara Kepayan (6 kes), Kluster Benteng LD (3 kes) dan Kluster Rumah Merah (3 kes),” jelasnya.

Sementara itu, ujarnya, negeri-negeri lain yang turut melaporkan kes baru hari ini terdiri daripada Pulau Pinang dengan 23 kes, diikuti Labuan (18), Terengganu (15), Sarawak (11), Negeri Sembilan (8), Perak (5), Kuala Lumpur (4).

Katanya, Melaka, Kedah, Johor dan Putrajaya pula masing-masing mengesan satu kes. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.