RM164 juta peruntukan bendung COVID-19 di Sabah

23

31 OKT: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM164 juta bagi mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba daripada jumlah itu, sebanyak RM130 juta adalah daripada peruntukan mengurus dan telah pun digunakan.

“Peruntukan RM130 juta itu digunakan bagi menyediakan keperluan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan consumables reagen serta aset mudah alih termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

“Baki jumlah tersebut sebanyak RM60 juta adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk menambah baik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik ICU di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan dalam Facebook Kementerian Kesihatan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah turun padang meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pengkalan Subang bagi menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

Penerbangan TUDM pagi semalam turut membawa peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Dalam pada itu, Adham memberitahu komitmen kerajaan dalam membantu menangani wabak COVID-19 amat penting demi melindungi keselamatan rakyat.

Justeru itu, beliau berharap tindakan pantas kerajaan menangani COVID-19 di Sabah mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.

“Kerjasama semua pihak amat dialu-alukan yang dapat memainkan peranan yang berkesan bagi terus menyekat wabak ini secara bersepadu.

“Kementerian Kesihatan sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara dari wabak COVID-19 ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan dan warga Kementerian Kesihatan akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak COVID-19 sehingga Sabah kembali menjadi zon hijau. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.