Ketepi perbezaan politik, pastikan Bajet 2021 lulus

204

31 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berharap semua Ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.

Muhyiddin berkata, satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini.

“Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan COVID-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas situasi semasa COVID-19 secara langsung melalui Facebook hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Bajet 2021 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Muhyiddin menambah, dalam bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

Beliau memberitahu, dalam mengurus gelombang ketiga COVID-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800 ribu orang telah kehilangan pekerjaan.

“Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” jelasnya.

Perdana Menteri menambah, kerajaan mengambil pendekatan untuk mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Sebagai contoh, beliau memberitahu, kerajaan telah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi,” katanya.

Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan tentang trend peningkatan kes-kes positif COVID-19 secara mendadak di negara ini dalam gelombang ketiga ketiga ini.

Menurut beliau, hanya dalam tempoh sebulan yang lalu, hampir 20 ribu kes positif baharu dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya manakala jumlah keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober 2020 adalah 30,090 kes dengan 246 kematian.

“Peningkatan kes COVID-19 secara mendadak telah memberi tekanan kepada para frontliners kita. Di negeri Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan telah dijangkiti COVID-19 dan lebih 1,200 petugas dikenakan kuarantin.

“Terdapat anggota polis yang terkena jangkitan COVID-19 dan setakat ini hampir 11,000 anggota terpaksa dikuarantin,” ujarnya.

Muhyiddin memberitahu, keadaan itu menambah kekangan pasukan polis terutamanya bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.