Belanjawan 2021: Usah polemik titah Agong

174

31 OKT: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua Ahli Parlimen di negara ini menyokong Belanjawan 2021 lahir daripada keprihatinan Seri Paduka terhadap keperluan semasa.

Pengasas Jurisprudens Watan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Al-Sultan Abdullah gusar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan bukan kerana alasan merit tetapi digerakkan oleh motif politiking.

Menurut beliau, perlu ditegaskan bahawa sumpah Ahli Parlimen untuk memelihara, mempertahan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan termasuklah kewajipan untuk menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen dan pemerintahan Persekutuan.

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

“Malangnya pada hari ini integriti segelintir Ahli Parlimen mula dipertikai oleh rakyat kerana aktiviti politiking sejak akhir-akhir ini. Justeru titah nasihat Seri Paduka itu tidak wajar dijadikan polemik.

“Saya menghormati kebebasan seorang Ahli Parlimen untuk bersuara. Namun tidak adil jika kenyataan seorang Ahli Parlimen itu dibuat tanpa meneliti maksud dan tujuan titah nasihat Al-Sultan Abdullah.

“Kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober sepatutnya dihormati malah tidak sekali-kali cuba diputarbelitkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh mencabar kewibawaan nasihat Seri Paduka,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang beranggapan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip raja berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

HASSAN ABDUL KARIM
HASSAN ABDUL KARIM

Justeru, Wan Ahmad Fauzi yang juga Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpandangan bahawa kenyataan Hassan merupakan satu tuduhan liar yang cuba berselindung atas nama amalan demokrasi berparlimen.

Beliau turut memberi sindiran sinis bahawa Hassan mungkin terlupa bahawa Seri Paduka merupakan bahagian tertinggi dalam institusi Parlimen bahkan Al-Sultan Abdullah mempunyai kewajipan di bawah sumpah untuk memerintah dengan adil dan memelihara keamanan dalam negara.

“Sebagai Yang di-Pertuan Agong berposisi pemerintah tertinggi Persekutuan sudah pasti Baginda berhak menyampaikan apa jua nasihat yang Seri Paduka fikirkan mustahak dan perlu.

“Malah Seri Paduka berhak mengulangi nasihat yang sama di Parlimen di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan sebelum bermula mesyuarat ke III bagi Penggal ke III Parlimen ke-14, bulan depan jika Baginda berkenan,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu agar meneliti semula teks kenyataan Istana Negara serta bersangka baik dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong.

“Apa yang jelas, Al-Sultan Abdullah hanya menzahirkan hasrat Baginda, tiada unsur paksaan atau sebarang tegahan untuk mana-mana Ahli Parlimen berbahas.

“Seri Paduka boleh sahaja memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan proses kelulusan belanjawan negara, tetapi itu tidak berlaku lagi buat masa ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.