Lengkapkan dulu permohonan – RoS

2,154

30 OKT: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memaklumkan permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) belum lengkap sepenuhnya berdasarkan semakan permohonan pendaftaran dalam sistem eROSES sehingga semalam.

Justeru, ROS berkata pihak Jawatankuasa Penaja PEJUANG perlu melakukan semakan terperinci pada setiap permohonan dikemukakan termasuk dokumentasi terutama perlembagaan yang menjadi rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar.

Berikutan itu, PEJUANG juga tidak boleh menggunakan logo, lambang dan simbol sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara sah.

“Justeru, Jawatankuasa Penaja parti berkenaan diingatkan untuk berhubung terus dengan RoS bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran itu.

“Jawatankuasa Penaja sudah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan,” kata RoS dalam satu kenyataan bagi menjawab kenyataan media PEJUANG, semalam yang mendesak keputusan segera dan jelas.

Kata kenyataan jabatan itu, pihaknya menganggap dakwaan bahawa belum ada tanda-tanda PEJUANG akan diluluskan selepas lebih dua bulan permohonan bertulis dan dalam talian dikemukakan kepada ROS tidak berasas sama sekali.

Katanya, dakwaan berkenaan tidak wajar kerana pihak Jawatankuasa Penaja parti itu sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama pihak RoS untuk semakan dan mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap permohonan berkenaan.

Kenyataan itu berkata, ia selari dengan yang dinyatakan sendiri oleh PEJUANG dalam kronologi kenyataan media mereka.

“Seperti dimaklumkan kepada Jawatankuasa Penaja Parti bahawa semakan terperinci hendaklah dilakukan pada setiap permohonan yang dikemukakan termasuk dokumentasi terutama perlembagaan yang menjadi rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar.

“Oleh itu, RoS sebagai sebuah jabatan yang menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar di Malaysia menegaskan agar pihak Jawatankuasa Penaja Parti untuk tidak menggunakan logo, lambang serta simbol sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara sah bawah Akta 335.

“ROS adalah jabatan melaksanakan tugas dan fungsi dengan adil dan saksama berdasarkan Rule of Law selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335],” kata kenyataan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.