Terima kasih, petugas barisan hadapan

91

30 OKT: Kerajaan merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kerana sumbangan dan jasa bakti yang ditabur mereka dalam membantu usaha menangani pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia di seluruh negara amat berterima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana usaha dan komitmen berterusan dalam misi memerangi COVID-19.

“Percayalah. Rakyat di seluruh negara amat berterima kasih kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas barisan hadapan yang lain, atas komitmen yang berterusan dalam usaha memastikan misi memerangi COVID-19 ini berjaya.

“Saya sangat berbangga dengan kerjasama yang sangat kukuh di antara pelbagai agensi ini dan pada masa yang sama, merasa sangat insaf melihatkan pengorbanan wira-wira negara yang tanpa henti berkorban masa dan tenaga untuk memerangi COVID-19.

“Mereka ini berjuang ‘di perbatasan’ meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi tekad untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada virus yang telah meragut banyak nyawa. Pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya.

muhyiddin
Bekalan perubatan dimuatkan dalam pesawat TUDM untuk dihantar ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Terima kasih petugas barisan hadapan. Anda adalah wira negara dan kami sangat berbangga dengan anda semua,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa untuk meninjau secara lebih dekat operasi misi penghantaran pelbagai barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik COVID-19 ke Sabah dan Sarawak menggunakan pesawat TUDM.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Dalam taklimat ringkas oleh Panglima Tentera Udara, Perdana Menteri dimaklumkan dua buah pesawat TUDM terlibat dalam misi hari ini, iaitu pesawat A400M dan C-130H yang akan membuat penerbangan ke Kuching, Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan sebelum kembali semula ke Pangkalan Udara Subang.

“Alhamdulillah pagi tadi saya telah ke Pangkalan Udara Subang, Selangor, bagi meninjau persiapan terakhir misi penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik COVID-19 ke Sabah dan Sarawak melalui pesawat TUDM.

“Saya berpeluang melihat secara dekat pelbagai kelengkapan dan peralatan kesihatan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk barangan sumbangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dikumpulkan sebelum diterbangkan untuk digunakan petugas barisan hadapan di lapangan.

“Antaranya set peralatan perlindungan diri (PPE), ventilator, jumpsuit, protective coverall, ward screen, procedure trolley, Biological Safety Cabinet, pelitup separuh muka, pelindung muka, pensanitasi tangan serta naskhah al-Quran dan buku doa Darussyifa,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin menambah, penugasan bantuan penerbangan pesawat TUDM ke Sabah dan Sarawak telah pun bermula sejak 22 Mac lepas dengan penerbangan lebih kerap kebelakangan ini berikutan peningkatan kes COVID-19 di Sabah.

“Selain keperluan peralatan perubatan dan fasiliti, pesawat TUDM ini turut menerbangkan doktor, staf perubatan serta sukarelawan bagi membantu memperkasakan usaha memerangi penularan wabak itu di Sabah dan Sarawak.

“Sehingga hari ini, sebanyak 17 bantuan penerbangan telah dilakukan TUDM yang membawa pelbagai muatan seberat 433,886.5 kg, manakala sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa balik sepanjang Oktober untuk diuji di makmal-makmal di Semenanjung Malaysia.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan atas khidmat bantuan penerbangan dilakukan TUDM yang memberi kemudahan kepada banyak pihak khususnya KKM dalam misi menghantar peralatan dan petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.