Reman tamat, polis guna POCA tahan Alvin Macau Scam

176

30 OKT: Polis menahan semula suspek utama kes pengubahan wang haram dan Macau Scam, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, 32, mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 setelah tempoh remannya tiga hari tamat hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata selepas diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, pada awal pagi Selasa lalu, Alvin ditahan reman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Permohonan reman POCA akan dimohon di Mahkamah Kuala Lumpur esok, bagi membantu siasatan lanjut berhubung kegiatan dan aktiviti yang dijalankan Alvin.

“Siasatan selanjutnya akan dijalankan sepanjang tempoh POCA dikenakan ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan penahanan suspek utama kes pengubahan wang haram yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum melarikan diri pada 11 Oktober lalu, berjaya diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, awal pagi.

Suspek dikenali sebagai Alvin Goh, ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Seorang wanita dipercayai warga asing turut ditahan bersama Alvin dalam serbuan berkenaan.

Alvin dikesan sering bersembunyi dari satu ke satu lokasi lain selepas melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 11 Oktober lalu..

Sementara itu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, sebelum ini berkata Alvin disyaki adalah koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan bagi mengesannya sejak 12 Oktober lalu.

Terdahulu media melaporkan PDRM memberi amaran tidak akan melepaskan mana-mana individu yang menjadi suspek kes sindiket Addy Kanna berkaitan penipuan Macau Scam, perjudian dalam talian dan pelaburan mata wang asing atau Forex yang ditahan baru-baru ini.

Berikutan itu Huzir berkata, tiga suspek kes berkenaan termasuk lelaki dikenali sebagai Addy Kanna kini ditahan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala seorang suspek dikenali sebagai Goh Leong [email protected] sedang dikesan polis

Get real time updates directly on you device, subscribe now.