PM bimbang penularan jika PRN dalam masa terdekat

136

30 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan sukar untuk mengawal penularan Covid-19 jika pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, dalam masa sama Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, bakal diadakan pada 5 Disember depan

Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun mengakui bahawa tiada petugas sanggup turun padang melakukan kerja di luar ketika pilihan raya diadakan kerana takut dengan wabak Covid-19.

“Tidak lama lagi ada PRK Batu Sapi dan juga PRN Sarawak, saya tidak pasti bagaimana cara kita hendak mengawal penularan Covid-19.

“Saya sudah bincang dengan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, boleh tidak kita kenakan sekatan supaya tidak ada berkempen. Berkempen secara maya gunakan telefon, gunakan radio, televisyen…itu mungkin boleh membantu mengurangkan (wabak),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ahli Parlimen Pagoh bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pagoh.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PRN Sarawak sudah tentunya akan menyebabkan ratusan ribu rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung pulang sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengawal penularan wabak Covid-19.

“Siapa yang boleh menjamin bahawa keadaan wabak itu boleh dikawal jika pilihan raya diadakan?

“Akan ada ratusan ribu orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung, sebahagian mereka datang daripada kawasan zon merah yang ada wabak Covid-19 tetapi kerana hendak undi, mereka akan balik kampung, balik Sarawak.

“Siapa di sini, yang boleh jamin bahawa wabak Covid-19 ini boleh dapat dikawal?

“Sarawak negeri besar, saya tidak tahu berapa ramai tenaga kerja yang diperlukan, saya tidak tahu sama ada mereka (petugas pilihan raya) akan datang keluar untuk membantu SPR menguruskan pilihan raya. Sebab itu situasi sebegini agak mencemaskan kita, ” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.