Pendakwa fail rayuan, wang dikait 1MDB belum diserah

132

30 OKT: Wang RM100,000 dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) milik Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, belum diserahkan kepada Yayasan itu.

Wang yang dibekukan SPRM itu didakwa dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam yang mewakili PBAKM, Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar berkata wang itu belum diserahkan kepada anak guamnya kerana pihak pendakwaan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi melucut hak wang itu sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

“Pihak pendakwaan telah memohon penangguhan pelepasan wang dan juga rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Harta itu (wang) masih dibekukan dalam akaun selagi rayuan tidak didengar di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Kata peguam itu seperti dilapor Bernama, pendengaran permohonan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 13 November ini manakala rayuan kes itu akan didengar pada 26 Januari 2021.

Pada 11 Jun lepas, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menunjukkan wang RM100,000 yang disita itu keseluruhannya atau sebahagiannya adalah berasal daripada pembayaran oleh Najib kepada PBAKM selaku responden.

“Pemohon juga gagal menunjukkan wang daripada RM100,000 yang disita itu adalah pembayaran daripada Najib atau yang mana daripada sumber-sumber lain,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.