Mohd Hamdi dilantik Naib Canselor UM

169

30 OKT: Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 November 2020 hingga 31 Oktober 2023.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dibuat selepas Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam bersidang dan membuat penilaian terhadap calon-calon pada 5 Oktober lalu.

Mohd Hamdi, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England; Master of Science in Advanced Manufacturing Technology & System Management dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doctor of Engineering on Thin Film Coating for Biomedical Applications dari Kyoto University, Jepun.

Beliau akan menggantikan Datuk Ir. (Dr) Abdul Rahim Hashim yang akan tamat kontrak pada 31 Oktober 2020.

Mohd Hamdi telah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama hampir dua tahun selain memegang jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), UM.

“Kementerian percaya dengan pelantikan ini, Mohd Hamdi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan pencapaian dan kegemilangan UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara ini.

“Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Abdul Rahim atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau selama ini sehingga UM dinobatkan sebagai di antara universiti terbaik dunia,” jelas kenyataan itu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.