MDEC buka pendaftaran GLOW-PENJANA

416

30 OKT: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah membuka pendaftaran untuk program GLOW-PENJANA yang bertujuan memberi latihan dan bimbingan intensif kepada rakyat tempatan yang ingin menjadi pekerja bebas yang kompetitif.

Peserta program juga berpeluang memenangi kontrak pekerjaan dan projek di platform pekerja bebas antarabangsa serta mampu memperoleh pendapatan berterusan.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh MDEC di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Bagi yang berminat untuk menyertai program GLOW-PENJANA ini, anda boleh mendaftar di pautan berikut : https://erezeki.my/penjana.

“Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan GLOW-PENJANA, sila layari https://erezeki.my/glow/faq ATAU hubungi talian 1-800-88-8338.,” jelas Kementerian Kewangan dalam hantaran Facebook.

Meruju kepada soalan-soalan lazim program GLOW-PENJANA, golongan sasaran merangkumi individu yang bekerja dalam sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.

Keutamaan diberikan kepada pekerja-pekerja dari industri pelancongan dan hospitaliti serta pendidikan, media dan kreatif.

Program tersebut juga menyasarkan penyertaan graduan menganggur atau tidak mempunyai kerjaya yang stabil (tidak melebihi 12 bulan dari tarikh graduasi) dengan latar belakang pendidikan di dalam bidang Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Pengurusan Perniagaan, Kewangan, Linguistik dan Hospitaliti. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.