Lapan lagi kluster dikenal pasti, lima di luar Sabah

203

30 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan kluster baharu di seluruh negara hari ini melibatkan Sabah, Selangor, Negeri Sembilan, Labuan dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripadanya dilaporkan di Sabah iaitu Rumah Merah, Telipok dan Sembulan yang keseluruhannya melaporkan 70 kes.

Beliau berkata, kluster pertama dikesan di Kota Kinabalu yang dinamakan sebagai Kluster Rumah Merah yang membabitkan sebuah Pusat Tahanan Sementara (PTS).

“Kluster kedua ialah Kluster Telipok yang turut dikesan di Kota Kinabalu dan sehingga kini sudah menjangkiti 10 individu.

“Kluster seterusnya ialah Kluster Sembulan yang dikesan di negeri sama yang kini sudah menjangkiti 12 individu,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Tambah Noor Hisham, kluster keempat pula dikenali sebagai Kluster Merpati yang dikesan di beberapa daerah di Selangor iaitu Sepang, Gombak dan Hulu Langat dan sudah menjangkiti 45 individu.

“Kluster kelima ialah Kluster Astaka yang dikesan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Selangor dan sehingga kini sudah jangkiti 32 individu,” katanya pada sidang media harian kes COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi klutser keenam, ia dikenali sebagai Kluster Titian yang dikesan di Labuan dan sehingga kini sudah jangkiti 11 kes.

“Kluster ketujuh ialah Kluster Meldrum melibatkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Tangkak di negeri Johor. 

“Kluster terakhir ialah Kluster Gala membabitkan daerah Seremban dan Jelebu di Negeri Sembilan. Sehingga kini sudah menjangkiti lapan individu,” katanya.

Menurut Noor Hisham, kebanyakan kluster-kluster baru yang dilaporkan kebelakangan ini berkait dengan kes-kes di tempat kerja.

Menurut beliau, keseluruhannya 133 kluster aktif dilaporkan setakat ini.

“Kluster-kluster sedia ada seperti Utama dan Hentian juga terus melaporkan kes baru hari ini,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.