Kekal dalam kerajaan tapi UMNO mahu PRU bila Covid-19 reda

194

30 OKT: Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat malam ini memutuskan semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam kerajaan dan parti itu beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bertepatan dengan UMNO sebagai sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat.

MT yang bermesyuarat kira-kira empat jam malam ini kata Ahmad Zahid, turut memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Ini dengan mengadakan Pilihan Raya Umum setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mesyuarat Khas MT UMNO di Menara Dato Onn diuar-uarkan antaranya bagi membincangkan senarai calon Timbalan Perdana Menteri dari parti itu walaupun pada masa sama, ada pemimpin menggesa UMNO mengelak memberi tekanan kepada Perdana Menteri kerana ia kuasa budi bicara ketua kerajaan.

Sejak beberapa hari lalu wujud spekulasi politik mengenai kehendak UMNO supaya pemimpin parti itu dilantik ke jawatan nombor dua kerajaan.

Namun kenyataan media yang dikeluarkan lepas tengah malam ini, tidak menyebut soal berkenaan cuma menjelaskan yang semua menteri UMNO kekal berada dalam kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, MT juga memutuskan yang UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

Katanya, maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendukung titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

“Sekiranya pendirian UMNO dalam perkara ini masih dipersoalakan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Ujar Ahmad Zahid, UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan.

Katanya, ini termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

Dalam itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat khas malam ini juga mengulangi dengan jelas bahawa UMNO menjunjung titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik.

Katanya, ini dengan berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang dicadangkan pihak kerajaan.

“UMNO juga terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya gencatan politik dan Rekonsilisasi Nasional demi mendepani Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.